Siri Bahasa Alam (BA) — Mukadimah: Bahasa Alam

Pernahkah kita mendengar orang-orang dahulu menyebut, “sampaikan salamku di angin lalu”?

Malah, pasti ada antara kita yang meminati lagu Ebiet G. Ade – Berita Kepada Kawan. Itulah antara contoh yang menggambarkan Bahasa Alam.

Apa itu Bahasa Alam?

Bahasa Alam ialah bicara-bicara Allah kepada kita yang disampaikan melalui alam — seperti awan, langit, hujan, angin, pokok, haiwan dan seumpamanya. Pendek kata, secara umumnya, semua yang berada di sekeliling kita adalah alam, termasuklah manusia itu sendiri.

Contohnya pada hari ini, apabila berlakunya bencana alam seperti banjir, gempa bumi dan pelbagai musibah lain, kita dapati ramai netizen mula mengaitkan peristiwa-peristiwa tersebut sebagai bicara murka Allah.

Namun begitu, cara memahami Bahasa Alam dengan pendekatan sebegini perlu diperhatikan. Ia khuatir merugikan — malah boleh menjauhkan kita daripada benar-benar mengenali Allah.

Mengapa?

Kita kembali kepada ilmu asas tentang musibah dan ujian. Apabila Allah menurunkan musibah seperti banjir atau gempa bumi, ia melibatkan semua yang berada di lokasi tersebut — tidak kira Muslim atau bukan Muslim, orang baik mahupun orang zalim. Dan mustahil Allah itu zalim.

Bagi orang yang beriman, musibah yang melanda adalah ujian. Apabila ia dilalui dengan syukur, sabar, reda dan yakin bahawa Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya, maka Allah akan mengangkat darjat hamba tersebut.

Kini, sudahkah kita sedikit memahami mengapa mengambil kefahaman tentang Bahasa Alam secara borong — tanpa ilmu — akhirnya membuatkan kitalah yang rugi?

Inilah mukadimah kepada perjalanan memahami Bahasa Alam.

Tentang asas berbahasa dengan alam — ia juga sedang menunggu untuk ditemui dalam buku Cerita Alam, Cerita Cinta — bagi hati yang mahu mengerti.

🌈 MamaTok — Flow with Allah’s GO — Let alam membuka pintu hati.

Scroll to Top